
Dana Impak memainkan peranan sebagai pemangkin di bawah strategi Memajukan Malaysia oleh Khazanah dengan menyokong transformasi syarikat bagi memperkukuh daya saing dan daya tahan negara, di samping memberikan impak sosioekonomi yang positif kepada Malaysia.
Gambaran Keseluruhan Dana Impak
Dana Impak merupakan platform pelaburan khusus yang menggabungkan modal pemangkin dengan pembangunan keupayaan, kerjasama dan jaringan bagi memperkukuh syarikat serta membangunkan ekosistem strategik.
Ketika Dana Impak ditubuhkan, mandatnya merangkumi enam bidang tematik yang meliputi pelbagai keutamaan ekonomi dan sosioekonomi Malaysia. Kini, tumpuan Dana Impak telah diperhalusi kepada teras yang lebih khusus, dengan menggembleng modal dan keupayaan untuk memangkin ekosistem strategik negara, mentransformasikan syarikat Malaysia serta membangunkan jaguh tempatan.
Pendekatan ini semakin diterjemahkan melalui pelaksanaan inisiatif berstruktur dan berasaskan program yang merangkumi ekosistem modal teroka dan syarikat pemula, syarikat peringkat pertengahan serta ekosistem semikonduktor dan pembuatan termaju di Malaysia. Usaha ini turut disokong oleh pelaburan dalam bidang seperti keterangkuman kewangan, pembangunan bakat dan peralihan tenaga.
(Setakat 31 Disember 2025)
Ringkasan Eksekutif
Dana Impak telah menggerakkan pelaburan berjumlah RM2.6 bilion, dengan setiap RM1 yang dilaburkan berjaya menarik penyertaan modal luar sebanyak 48 sen. Dana Impak turut menyokong kira-kira 130 syarikat melalui pelaburan dan program pembangunan ekosistem serta kira-kira 4,200 bakat di Malaysia.
Modal
Pelaburan yang digerakkan sejak penubuhan
Bakat
bakat disokong di Malaysia
Syarikat yang Disokong
syarikat disokong melalui pelaburan dan program ekosistem
Gambaran Keseluruhan Portfolio
Secara keseluruhan, portfolio ini mencerminkan usaha yang lebih besar untuk membangunkan ekonomi dengan keupayaan yang lebih tinggi, syarikat yang lebih kukuh serta pemilikan yang lebih besar terhadap nilai yang dicipta oleh Malaysia. Portfolio ini merangkumi syarikat Malaysia pada pelbagai peringkat perkembangan yang menerima sokongan melalui penyediaan modal, pembangunan keupayaan dan kerjasama strategik.
Menghasilkan
Impak
Kisah Impak Terpilih Merentas Tiga Teras Utama Dana Impak


Dana Impak menggerakkan modal teroka melalui Gobi Dana Impak Ventures (GDIV) bagi menyokong Kiddocare, sebuah platform penjagaan tempatan yang memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan yang dipercayai di Malaysia, di samping membangunkan ekonomi penjagaan yang lebih profesional.
- Jaringan penyedia penjagaan berkembang kepada lebih 22,000 orang.
"Setiap ibu, sama ada bekerja atau tidak, pasti ada saat penat dan tertekan, atau merasakan apa yang dilakukan masih belum cukup. Ketika itulah anda memerlukan bantuan. Kami menyokong penyertaan wanita dalam tenaga kerja. Kami membantu wanita memasuki tenaga kerja dan terus kekal bekerja walaupun selepas mempunyai anak."


Cambrian menggabungkan kepakaran pemain industri, modal teroka dan modal pemangkin untuk menyokong generasi baharu usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia yang memberi tumpuan kepada teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).
- Cambrian Fund berjaya mengumpulkan RM104.5 juta dana
"Ketika kami menubuhkan ViTrox, kami percaya jurutera Malaysia mampu membangunkan teknologi bertaraf dunia di negara sendiri. Pengalaman kami menunjukkan bahawa pengasas memerlukan lebih daripada sekadar keyakinan. Mereka memerlukan modal pemangkin, panduan dan jaringan yang dipercayai, terutamanya sebelum kejayaan dapat dibuktikan. Cambrian lahir daripada pengalaman tersebut. Sokongan Khazanah menerusi Dana Impak memainkan peranan penting dalam merealisasikan kerjasama ini, bersama Southern Capital sebagai rakan kongsi modal teroka kami. Kini, kami mempunyai platform untuk menyokong generasi baharu pengasas Malaysia dalam teknologi IR4.0, sekali gus membolehkan lebih banyak syarikat berdaya saing di peringkat global dibangunkan di Malaysia dan membawa negara kita daripada sekadar ‘Buatan Malaysia’ kepada sesuatu yang boleh kita banggakan sebagai ‘Dihasilkan oleh Malaysia’.”


Setelah Vynn Capital menerima komitmen pelaburan di bawah Program Pengurus Dana Baharu (EMP), Vynn Capital berhasrat untuk terus membantu syarikat tempatan mengakses peluang di luar pasaran domestik, di samping mengetengahkan keusahawanan Malaysia kepada pelabur dan rakan kongsi antarabangsa.
- 19 syarikat portfolio di Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina dan Hong Kong
"Kalau bukan kerana mahu menubuhkan Vynn Capital, saya mungkin tidak akan meninggalkan pekerjaan saya sebelum ini. Tetapi saya merasakan bahawa jika saya benar-benar mahu membina sesuatu sendiri, ketika itulah masa yang paling sesuai untuk melakukannya."


Melalui pelaburan Khazanah di bawah Dana Impak, PolicyStreet terus membina asas perniagaan yang lebih kukuh dengan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pasaran tempatan, meningkatkan keupayaan pengunderaitan serta menambah baik infrastruktur digital.
- Lebih 900,000 pekerja gig yang diinsuranskan
"Kami percaya insurans ialah satu keperluan asas, bukan kemewahan. PolicyStreet memberi tumpuan kepada penyediaan perlindungan yang dapat disepadukan dengan mudah dalam kehidupan seharian. Perlindungan ini ringkas, mudah diakses dan direka berdasarkan keperluan sebenar rakyat Malaysia yang kurang mendapat akses kepada perlindungan, supaya semua orang dapat menikmati ketenangan kerana mengetahui bahawa mereka mempunyai perlindungan kewangan.”


Melalui MTC Growth Innovation Programme (MGIP) Khazanah, Jalen menilai semula andaian yang telah lama menjadi pegangan dan memperkemas pendekatannya terhadap pembangunan produk.
- 50+ pembekal Jalen merupakan syarikat tempatan yang membantu Jalen mendapatkan bahan mentah dan pembungkusan dari dalam dan luar negara
"Kini, syarikat sedang memperkukuh tadbir urus, sistem dan keupayaan organisasinya bagi menyokong pertumbuhan pada masa hadapan, sambil mengekalkan nilai yang telah membentuk perkembangan Jalen sejak peringkat awal. Pendekatan ini mengimbangi daya saing komersial dengan identiti tempatan yang kukuh.”


Qarbotech telah mentransformasikan hasil penemuan daripada sebuah universiti di Malaysia menjadi teknologi pertanian yang memanfaatkan potensi semula jadi fotosintesis, sekali gus membantu petani di seluruh dunia meningkatkan hasil dengan penggunaan sumber yang lebih rendah.Perjalanan pertumbuhan Qarbotech menunjukkan bagaimana syarikat muda Malaysia memerlukan bentuk modal dan sokongan yang berbeza pada setiap peringkat untuk membawa penemuan saintifik ke skala komersial.
- Peningkatan antara 30% hingga 60% bagi tanaman yang diuji
"Saya rasa pertumbuhan kami akan menjadi jauh lebih perlahan tanpa pelaburan dan sokongan Dana Impak. Untuk mencapai tahap kemajuan yang kami capai sekarang, kami mungkin memerlukan dua tahun lagi.”


SkyeChip merupakan tindak balas langsung terhadap cabaran ini. Syarikat ini berusaha membangunkan sebuah syarikat Malaysia dalam bidang IP semikonduktor dan reka bentuk litar bersepadu yang mampu bersaing di peringkat global,Menerusi Dana Impak, Khazanah telah menyokong pembangunan keupayaan merentas beberapa lapisan rantaian nilai semikonduktor.
- 113 paten di Malaysia, Amerika Syarikat dan China
"Matlamat kami jelas: kami mahu Malaysia menjadi hab reka bentuk IC terkemuka di rantau ini dan diiktiraf sebagai pemain dalam ekosistem semikonduktor global peringkat huluan. Kami menyahut visi kerajaan ‘Build in Malaysia’ dan memperluasnya kepada ‘Design by Malaysia’.”


Menerusi Dana Impak, Khazanah telah melabur dalam Asia Pacific University (APU) bersama TPG menerusi The Rise Fund pada 2023 dan meneruskan pelaburannya bersama Creador pada 2025. Pelaburan ini menyokong fasa pertumbuhan seterusnya bagi APU, sebuah universiti tempatan yang menyediakan pendidikan berteraskan keperluan industri dan pembelajaran praktikal bagi melahirkan bakat untuk kerjaya berasaskan teknologi.
- Universiti pertama di Malaysia yang memperoleh penarafan keseluruhan QS 5-Stars Plus pada 2021 (satu daripada hanya 24 universiti di dunia)
"Apabila graduan daripada keluarga berpendapatan rendah memperoleh pendapatan yang cukup tinggi, mereka mampu membantu adik-beradik dan turut membantu melangsaikan hutang ibu bapa yang digunakan untuk membiayai pendidikan mereka. Mengetahui bahawa kami dapat membawa perubahan kepada keluarga berpendapatan rendah seperti ini amat bermakna.”


