Daripada Meja

Pengarah Urusan Khazanah

Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir
Pengarah Urusan, Khazanah Nasional Berhad

“

Saya sering melihat usaha ini sebagai satu proses yang berkesinambungan, dengan Khazanah memainkan peranan berbeza pada setiap peringkat serta membantu menarik sumber modal yang lebih besar dan pelbagai seiring dengan pertumbuhan syarikat.”

Selama tiga dekad, syarikat Malaysia mendapat manfaat daripada persekitaran ekonomi global yang membolehkan modal, aktiviti pengeluaran, dan permintaan bergerak dengan mudah merentasi sempadan. Namun, persekitaran ini semakin sukar dijangka apabila modal menjadi lebih selektif, aktiviti pengeluaran semakin beralih ke lokasi yang lebih dekat dengan pasaran asal, dan akses kepada pasaran semakin dipengaruhi oleh faktor geopolitik dan teknologi.

Perubahan ini turut mengubah cara kami melihat peranan dan pendekatan kami dalam menghasilkan nilai yang mampan untuk rakyat Malaysia. Sebagai pelabur yang berpaksikan matlamat, kami berusaha menghasilkan nilai yang melangkaui pulangan kewangan melalui pelaburan dalam syarikat, pembangunan keupayaan, dan ekosistem yang akan membentuk masa depan Malaysia. Melalui Strategi Memajukan Malaysia, kami berusaha meningkatkan kekayaan jangka panjang negara di samping memperkukuh daya saing dan daya tahan negara, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang lebih luas.

Daya tahan Malaysia semakin bergantung pada kekuatan dan keupayaan syarikat tempatan. Negara memerlukan lebih banyak syarikat Malaysia yang mampu mengadaptasi teknologi, meluaskan jangkauan pelanggan ke pelbagai pasaran serta terus mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti dalam menghadapi perubahan keadaan ekonomi.

Dana Impak dilancarkan dengan komitmen dana sebanyak RM6 bilion bagi membantu membangunkan keupayaan tersebut. Di bawah GEAR-uP, Dana Impak merupakan sebahagian daripada komitmen menyeluruh Khazanah untuk memperkukuh syarikat tempatan dan meningkatkan keupayaan negara. Dari semasa ke semasa, kami telah memperkemas pendekatan penyaluran modal melalui program yang menggabungkan pelaburan dan kepakaran untuk menyokong syarikat pada pelbagai peringkat pembangunan. Ini merangkumi pelaburan modal teroka, sokongan kepada syarikat peringkat pertengahan serta pelaburan dalam bidang yang memanfaatkan teknologi untuk memperkukuh asas perindustrian negara. Matlamat yang lebih luas adalah untuk mempertingkatkan keupayaan negara dan membangunkan ekonomi yang lebih kompleks.

Saya sering melihat usaha ini sebagai satu proses yang berkesinambungan, dengan Khazanah memainkan peranan berbeza pada setiap peringkat serta membantu menarik sumber modal yang lebih besar dan pelbagai seiring dengan pertumbuhan syarikat.

Pengalaman kami selama ini telah memberikan satu pengajaran penting. Modal sememangnya diperlukan, namun ia bukan satu-satunya faktor yang menentukan kejayaan. Syarikat juga mungkin memerlukan tadbir urus yang lebih kukuh, keupayaan pengurusan yang lebih mantap, akses kepada pasaran dan teknologi serta rakan kongsi yang sesuai. Peranan kami adalah untuk mengurus pelaburan secara bertanggungjawab di samping membantu membangunkan ekosistem yang kukuh bagi menyokong syarikat Malaysia. Untuk tujuan ini, kami menghubungkan pelabur, pengurus dana, rakan kongsi industri dan institusi bagi memperkukuh kedudukan syarikat serta dana dan meningkatkan daya tarikan mereka kepada pelabur.

Menerusi program-program ini, kami mahu melihat lebih banyak syarikat Malaysia berkembang dengan mencatatkan keuntungan, meningkatkan produktiviti, menembusi pasaran baharu serta menyumbang kepada peningkatan gaji dan peluang pekerjaan yang lebih baik.

Saya sering mengibaratkan usaha ini sebagai satu perlumbaan berganti-ganti, dengan Khazanah memainkan peranan yang berbeza pada setiap peringkat serta membantu menarik sumber modal yang lebih besar seiring dengan pertumbuhan syarikat. Melalui Strategi Memajukan Malaysia, kami akan terus memperkukuh program dan kerjasama bagi membantu lebih banyak syarikat Malaysia berkembang, bersaing dan menyumbang kepada ekonomi negara yang lebih berdaya tahan serta memiliki keupayaan yang lebih tinggi.