Prakata Oleh
YAB Perdana Menteri Malaysia

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Malaysia,
Pengerusi Khazanah Nasional Berhad
Matlamat Dana Impak berkait rapat dengan aspirasi yang lebih besar, iaitu membina ekonomi yang membolehkan rakyat Malaysia semakin memainkan peranan sebagai pencipta nilai, idea dan peluang yang meningkatkan daya saing serta mengekalkan kemakmuran negara.”
Malaysia kini berada pada detik penting dalam usaha pembaharuan dan reformasi. Pelaksanaan reformasi fiskal dan institusi secara berperingkat, namun signifikan, telah meningkatkan keyakinan terhadap hala tuju ekonomi negara. Kini, kita perlu meneruskan usaha untuk menterjemahkan keyakinan tersebut kepada keupayaan negara yang lebih tinggi, perusahaan Malaysia yang lebih kukuh serta peluang yang lebih baik untuk rakyat.
Melalui Ekonomi MADANI, kita berusaha meningkatkan potensi ekonomi negara di samping memperkukuh taraf hidup rakyat. Kemajuan syarikat, peningkatan produktiviti dan inovasi perlu membawa manfaat nyata kepada rakyat melalui kehidupan yang lebih baik dan peluang yang lebih luas, serta maruah yang lahir daripada kemampuan membina kehidupan yang terjamin melalui kebolehan sendiri.
Bagi memastikan kemajuan ini berkekalan, institusi negara perlu ditadbir dengan baik, bertanggungjawab serta bijaksana dan kreatif dalam memanfaatkan sumber negara. Tadbir urus yang baik dapat meningkatkan keyakinan, memperkukuh mutu keputusan yang dibuat serta menyediakan asas yang lebih teguh untuk Malaysia membangunkan keupayaannya sendiri.
Malaysia sentiasa memperoleh kekuatan melalui hubungan dan penglibatan dengan dunia luar. Sebagai sebuah negara perdagangan yang dinamik dan berdaya usaha, berteraskan dasar luar strategik yang mengamalkan prinsip tidak berpihak secara aktif, keterbukaan kita telah membolehkan rakyat Malaysia menimba ilmu, membangunkan keupayaan dan bersaing dengan yang terbaik di peringkat antarabangsa, sambil membina kekuatan sendiri. Kini, kita perlu memanfaatkan keyakinan tersebut untuk melangkah lebih jauh, dengan memastikan lebih banyak ilmu pengetahuan, teknologi dan perusahaan yang menjadi asas kemakmuran negara dibangunkan di Malaysia serta dimiliki oleh rakyat Malaysia sendiri.
Dana Impak turut memainkan peranan dalam menjayakan agenda pembangunan negara ini. Dana Impak membantu memperkukuh syarikat, bakat dan keupayaan Malaysia supaya lebih banyak nilai yang dijana oleh ekonomi negara dapat diterjemahkan kepada ilmu pengetahuan yang kita miliki, perusahaan yang kita bangunkan serta peningkatan keupayaan menjana pendapatan yang dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat Malaysia. Matlamat Dana Impak berkait rapat dengan aspirasi yang lebih besar, iaitu membina ekonomi yang membolehkan rakyat Malaysia semakin memainkan peranan sebagai pencipta nilai, idea dan peluang yang meningkatkan daya saing serta mengekalkan kemakmuran negara.
Pertumbuhan ekonomi hanya membawa makna apabila ia membuka lebih banyak peluang kepada rakyat. Pertumbuhan ini seharusnya membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menyumbang melalui kebolehan masing-masing, membina kehidupan yang lebih baik serta menghadapi masa hadapan dengan keazaman, keberanian dan keyakinan yang lebih tinggi. Inilah kemajuan yang ingin kita capai melalui Ekonomi MADANI, dan matlamat yang perlu terus didukung oleh Dana Impak.