Mesej Daripada
Menteri Kewangan II

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Menteri Kewangan II,
Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad
Matlamatnya adalah untuk menggunakan modal negara secara berdisiplin berlandaskan prinsip komersial bagi membantu syarikat memperkukuh kedudukan, menarik pelaburan tambahan dan mengembangkan skala operasi.”
Lonjakan ekonomi Malaysia yang seterusnya bergantung pada sejauh mana kita mampu menterjemahkan pelaburan kepada peningkatan keupayaan. Kemajuan yang berkekalan dapat dicapai apabila modal yang dilaburkan menghasilkan syarikat yang lebih kukuh, tenaga kerja yang lebih mahir, pengurus dana yang lebih berkeupayaan serta pasaran pembiayaan yang mampu menyokong fasa pertumbuhan seterusnya.
Malaysia kini menyaksikan peningkatan penyertaan pelabur domestik dalam usaha ini. Pada 2025, pelabur domestik menyumbang RM222.4 bilion, iaitu lebih separuh daripada jumlah pelaburan diluluskan negara yang mencatatkan rekod RM431.1 bilion. Melalui GEAR-uP, enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan turut memberikan komitmen tambahan sebanyak RM120 bilion untuk pelaburan domestik bagi tempoh 2024 hingga 2028.
Di bawah Ekonomi MADANI, tumpuan kini adalah untuk memanfaatkan modal ini bagi membina ekonomi yang lebih produktif dan berdaya tahan. Ini termasuk membantu syarikat Malaysia meningkatkan daya tarikan kepada pelabur melalui tadbir urus, prestasi dan keterlihatan yang lebih baik, membangunkan keupayaan untuk menceburi aktiviti yang lebih kompleks dan bernilai tinggi, serta memperoleh pembiayaan, jaringan dan akses pasaran yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan. Setiap peringkat pembangunan seharusnya memudahkan syarikat melangkah ke peringkat seterusnya.
Kita juga boleh menggunakan modal negara sebagai pelaburan awal untuk menunjukkan keyakinan terhadap sesuatu peluang pelaburan, sekali gus menggalakkan pihak lain melabur bersama. Dengan menjadi pelabur utama dan melibatkan rakan kongsi yang mempunyai kepakaran khusus, kita dapat menarik lebih banyak modal, kepakaran dan jaringan seiring dengan pertumbuhan syarikat.
Dana Impak merupakan salah satu platform utama untuk merealisasikan aspirasi ini. Ditubuhkan dengan komitmen dana sebanyak RM6 bilion, Dana Impak menyokong syarikat, pengurus dana dan ekosistem strategik pada pelbagai peringkat pembangunan. Sokongan ini merangkumi usaha memperkukuh ekosistem modal teroka, membantu syarikat peringkat pertengahan membuat persediaan untuk pertumbuhan, serta membangunkan keupayaan yang lebih mendalam dalam bidang semikonduktor dan pembuatan termaju. Matlamatnya adalah untuk menggunakan modal negara secara berdisiplin berlandaskan prinsip komersial bagi membantu syarikat memperkukuh kedudukan, menarik pelaburan tambahan dan mengembangkan skala operasi.
Kejayaan diukur berdasarkan hasil yang ditinggalkan oleh setiap kitaran pelaburan. Sekiranya modal yang dilaburkan hari ini berjaya membentuk syarikat yang lebih kukuh, meningkatkan keupayaan serta mewujudkan pasaran yang lebih berkeupayaan membiayai fasa pertumbuhan seterusnya, generasi perniagaan dan tenaga kerja Malaysia yang akan datang akan mempunyai asas yang lebih kukuh berbanding generasi sebelumnya.