Melangkah ke Hadapan

Merangka Hala Tuju Seterusnya Bagi Dana Impak

Melalui Dana Impak, Khazanah akan meneruskan usaha membangunkan ekosistem, syarikat dan bakat dalam fasa seterusnya, dengan menyalurkan modal pemangkin kepada ekosistem yang masih di peringkat awal serta membantu membina keupayaan yang diperlukan oleh syarikat untuk berkembang, khususnya apabila modal semata-mata tidak mencukupi.

Usaha ini khususnya melibatkan pengukuhan kesinambungan sokongan dari segi modal, keupayaan dan kerjasama sepanjang kitaran hayat syarikat, daripada syarikat pemula hingga syarikat peringkat pertengahan (MTC), termasuk dalam sektor strategik seperti semikonduktor dan pembuatan termaju.

Program Sedia Ada

Bagi ekosistem syarikat pemula dan modal teroka di Malaysia, Khazanah melalui Jelawang Capital akan terus menyokong pengurus dana tempatan yang sedang berkembang serta menarik pengurus dana serantau ke Malaysia. Dari segi pelaksanaan, usaha ini melibatkan pengukuhan laluan pembiayaan daripada pembiayaan institusi kepada pembiayaan susulan, bagi menyediakan ruang kepada syarikat pemula Malaysia yang berpotensi untuk berkembang pada skala yang lebih besar. Jelawang Capital kekal berada di landasan untuk menyalurkan pembiayaan berjumlah RM1.0 bilion, di samping bekerjasama dengan pembuat dasar dan rakan ekosistem bagi menyokong Pelan Hala Tuju Modal Teroka Malaysia 2024–2030.

Bagi syarikat peringkat pertengahan (MTC) di Malaysia, Khazanah akan meneruskan pendekatan dwi-landasan yang merangkumi pembangunan keupayaan dan penyediaan modal pertumbuhan. Inisiatif pembangunan keupayaan seperti MTC Growth Innovation Programme (MGIP) dan Program Elevate akan terus membantu MTC berkembang, berinovasi dan menembusi pasaran baharu. Usaha ini akan dilengkapi dengan penyelesaian modal, termasuk strategi ekuiti swasta dan kredit swasta, bagi memperluas akses kepada sumber pembiayaan alternatif. Secara keseluruhan, RM1.0 bilion dijangka disalurkan bagi menyokong lebih banyak MTC Malaysia untuk menjadi pemacu inovasi dan pertumbuhan pada masa hadapan, selaras dengan dasar seperti Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030.

Bagi industri semikonduktor dan pembuatan termaju pula, Khazanah akan terus menyokong syarikat dan dana rakan kongsi yang membantu Malaysia meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai. Selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional, usaha ini merangkumi sokongan kepada syarikat yang meneroka bidang teknologi baharu, memperkukuh kumpulan bakat tempatan serta menyediakan akses kepada modal, jaringan dan pasaran kepada pengasas dan syarikat yang berpotensi. Program ini kekal berada di landasan untuk menyalurkan pembiayaan berjumlah RM1.0 bilion bagi menyokong aspirasi Malaysia dalam bidang seperti reka bentuk litar bersepadu dan pembungkusan termaju.

Program Baharu dan Akan Datang

Khazanah akan terus membangunkan program baharu di bawah Dana Impak berdasarkan permasalahan baharu yang dikenal pasti, dengan terus berpandukan teras impak utamanya. Pada tahun 2026, dua program baharu telah diperkenalkan.

Pertama, ekuiti swasta (PE) masih merupakan segmen yang agak kecil dalam pasaran modal Malaysia, dengan hanya sebilangan kecil pengurus dana yang berpangkalan di Malaysia dan memberi tumpuan kepada syarikat tempatan di peringkat pertumbuhan. Berlandaskan peranan Jelawang Capital dalam ekosistem modal teroka dan syarikat pemula, Khazanah berhasrat untuk menyokong rakan kongsi am PE yang berpotensi dan berpangkalan di Malaysia. Langkah ini dapat membantu menyalurkan lebih banyak modal kepada syarikat dalam fasa pertumbuhan, di samping membangunkan generasi baharu profesional PE tempatan.

Kedua, melalui Dana Ciptawan, Khazanah berhasrat untuk menyokong MTC milik Bumiputera yang berpotensi tinggi, di samping MTC lain di Malaysia, dalam persediaan menuju fasa pertumbuhan seterusnya. Selaras dengan aspirasi kerangka PuTERA35, program ini bertujuan memperluas penyertaan dan pemilikan Bumiputera dengan menyediakan akses kepada modal, keupayaan serta sokongan penciptaan nilai yang diperlukan untuk berkembang pada skala yang lebih besar. Dalam jangka panjang, usaha ini dapat membantu melahirkan lebih banyak syarikat Malaysia yang berdaya saing dan berdaya tahan.

Selain kedua-dua program ini, program baharu dijangka akan diperkenalkan dari semasa ke semasa, dengan setiap program memberi tumpuan kepada bidang yang berbeza dalam ekonomi Malaysia atau cabaran tertentu yang perlu ditangani. Menerusi program sedia ada dan baharu, pembiayaan berjumlah RM6 bilion akan disalurkan untuk memangkin ekosistem strategik, mentransformasikan syarikat Malaysia dan membangunkan syarikat Malaysia yang berpotensi menjadi peneraju masa hadapan.

Langkah Seterusnya

Melalui Dana Impak, Khazanah menyalurkan modal jangka panjang dan modal pemangkin untuk memperkukuh sumber modal dan bakat, membina syarikat Malaysia yang lebih kukuh serta meningkatkan daya saing sektor. Usaha ini bukan sahaja untuk menggerakkan pelaburan domestik, malah untuk meningkatkan siling ekonomi Malaysia.

Pada akhirnya, melalui Dana Impak, Khazanah menterjemahkan strategi Memajukan Malaysia kepada hasil yang manfaatnya melangkaui syarikat secara individu, dengan memberi manfaat kepada ekonomi dan komuniti negara secara lebih luas serta generasi peneraju Malaysia pada masa hadapan.